Isnin, 8 Oktober 2018 | 11:30pm
TUN Dr Mahathir (kanan) berkata sesuatu kepada Anwar pada majlis Ceramah Mega Mahathir-Anwar di PD Waterfront, malam ini. - Foto BERNAMA

Lupakan kisah silam untuk capai kemenangan - Tun M

PORT DICKSON: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui gembira dapat berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Perdana Menteri turut menegaskan tidak akan sesekali membiarkan apa yang berlaku pada masa lampau, menggugat kesepakatan dalam Pakatan Harapan (PH) dan masa depan negara.

“Saya amat gembira dapat berkempen untuk Anwar. Benar, memang saya dan Anwar ada sejarah lalu tetapi itu adalah waktu lampau.

“Kalau mahu menang, kita kena berpakat, jelas dan ikhlas dan untuk ini tak boleh ingat kembali permusuhan lama.

“Jika fikir perkelahian lama, maka kita tak boleh bersatu. Matlamat kita lebih besar berbanding diri sendiri dan parti kita,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di PD Waterfront di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Anwar selaku calon PH.

Dr Mahathir buat pertama kali selepas 20 tahun berkongsi pentas dengan bekas timbalannya, bagi berkempen membantu Anwar yang bertanding pada PRK Port Dickson, Sabtu ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH, berkata kerjaya politik Anwar banyak bergantung kepadanya.

“Saya tahu dahulu Anwar dan saya tak berapa baik, tetapi jangan lupa dia masuk UMNO jadi menteri pun kerana saya juga. Kalau Anwar nak fikir mengenai apa yang terjadi kepada dia, kita tak mungkin boleh bersatu.

“Saya juga kalau fikir yang lama, macam-macam nama diberi seperti Mahazalim, kononnya saya diktator. Apa sangat nak panggil nama, panggil la... nama saya Mahathir bukan Mahathir Bin Kutty, Mahathir Bin Mohamad.

“Apa yang utama bukan nama saya, atau masalah Anwar, masalah ialah kita mempunyai kerajaan zalim dan menekan rakyat ketika itu,” katanya.

156 dibaca
Berita Harian X