Ahad, 7 Oktober 2018 | 3:42pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di Port Dickson, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Anwar lawat semua kawasan pengundi

PORT DICKSON: Memasuki minggu akhir kempen, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melawat hampir keseluruhan kawasan mengundi dalam Parlimen Port Dickson.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata Anwar melawat lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bertemu pelbagai golongan pengundi.

“Memasuki hari kelapan kempen hari ini, beliau sudah mendekati sebahagian daripada 75,000 pengundi merangkumi pelbagai bangsa dan agama.

“Calon sudah sampai ke semua DUN secara seimbang dan menemui hampir semua segmen pengundi antaranya nelayan, pemuda, pendidik, peniaga kecil, pemimpin dan penggerak budaya,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Aminuddin Harun; Timbalan Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Parlimen Port Dickson mempunyai lima DUN iaitu Chuah, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Linggi dan Lukut.

Dalam usaha memastikan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson meningkat berbanding tiga PRK lalu, Saifuddin berkata, pihaknya mewujudkan pusat panggilan untuk menghubungi pengundi yang tinggal di luar kawasan.

Katanya, berdasarkan senarai pengundi diperoleh kira-kira 35 peratus pengundi Port Dickson menetap di luar kawasan dan jentera parti menghubungi mereka bagi mengingatkan dan memujuk pengundi pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 13 Oktober ini.

Mengenai persiapan majlis bakal dihadiri Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membantu Anwar berkempen di sini, Saifuddin berkata, ia kini mencecah 95 peratus.

Katanya, kepemimpinan tertinggi empat parti dalam PH sudah mengesahkan kehadiran pada majlis malam esok iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

17 dibaca
Berita Harian X