Ahad, 7 Oktober 2018 | 11:21am
TPM @drwanazizah hadir ke Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, Port Dickson. - Foto BERNAMA

Gandingan Dr Mahathir, Anwar dinantikan - Wan Azizah

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, yakin kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad esok bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, mampu meningkatkan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan Ketua Umum PKR itu bakal menjadi gandingan mantap.

Beliau berkata, gabungan dua individu itu jelas menunjukkan sesuatu yang positif terhadap aktiviti kempen Anwar.

“Alhamdulillah, kita sangat bangga dan terharu kerana selalunya Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak akan turun berkempen dalam PRK.

TPM @drwanazizah hadir ke Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, Port Dickson. - Foto BERNAMA

“Bagaimanapun kali ini beliau memilih untuk datang ke Port Dickson bagi memberi sokongan dan berkempen untuk Anwar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dijangka ke Port Dickson malam esok bagi membantu kempen Anwar.

Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi Port Dickson pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Berita Harian X