Sabtu, 6 Oktober 2018 | 11:40pm
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya. - Foto . - NSTP/Hazreen Mohamad

BERSATU bantu kempen sejak penamaan calon

PORT DICKSON: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menolak dakwaan kononnya tidak terbabit dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Port Dickson.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata pihaknya terbabit dengan PRK sejak sebelum hari penamaan calon bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, rakan dari negeri lain turut membantu menggerakkan jentera pilihan raya.

“Spekulasi kononnya BERSATU tidak ada komitmen dalam PRK adalah tanggapan yang salah.

“Tidak timbul juga soal Tun Dr Mahathir nak hadir ke sini, baru kita nak buat kerja.

“Malah, berita kehadiran Dr Mahathir akan hadir, memberi impak besar kepada gerakan ini.

“Saya yakin kehadiran Perdana Menteri dapat membantu meningkatkan majoriti calon PH nanti,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Mengenai BERSATU Negeri Sembilan, Marzuki berkata, hanya kepemimpinan parti dibubarkan sebelum ini.

Katanya, ketika ini ini pihaknya sudah menyusun kembali kepemimpinan parti dengan melantik Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, manakala Timbalan Pengerusi BERSATU ialah Eddin Syazlee Shith.

“Kita sudah selesai menyusun semula kepemimpinan parti dan selepas ini akan mula menjalankan gerak kerja,” katanya.

45 dibaca
Berita Harian X