Sabtu, 6 Oktober 2018 | 3:26pm
TAN Sri Isa Samad bersalaman bersama penduduk setempat ketika mengadakan kempen PRK Parlimen Port Dickson di Majlis Berkhatan di Kampung Pachitan, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Port Dickson dah lama maju - Isa

PORT DICKSON: “Kalau ada yang kata Port Dickson tak maju, maknanya mata mereka tak terang.”

Satu-satunya calon tempatan, Tan Sri Mohd Isa Samad, mempertahankan Port Dickson sebagai kawasan yang memiliki pelbagai jenis pembangunan.

Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, itu berkata demikian sebagai menangkis dakwaan beberapa calon yang berkempen dengan menyebut Port Dickson tidak maju ketika ditadbir kerajaan terdahulu.

“Itu agenda calon lain yang sengaja mendakwa Port Dickson tidak maju dan sebagai calon, mereka cuba nak majukan.

“Infrastruktur di sini bagus, kita pun sudah ada lebuh raya. Mungkin mereka tak perasan semua tu dah ada. Cuma sekarang kita hanya mahu tingkatkan lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis berkhatan di Kampung Pachitan di sini, hari ini.

Mohd Isa berkata, apa yang kurang ketika ini hanyalah jalan lebih mudah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini, dengan melebarkan jalan dari Sepang ke Lukut.

“Dari Sepang ke Lukut kena buat laluan dari dua menjadi empat lorong. Saya pernah minta masa jadi Menteri Besar (1982-2004) dulu.

“Kalau saya menang nanti, saya akan minta semua ini daripada kerajaan. Jika mereka tidak mahu buat, mereka akan dipersalahkan kerana ini untuk rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah pesaing utamanya, beliau menganggap semua calon adalah pesaingnya.

“Saya anggap semua adalah pesaing tidak kira sesiapa pun, sebab semua masuk bertanding untuk menang,” katanya.

Bekas Ketua UMNO bahagian Teluk Kemang itu juga yakin akan menang PRK, berdasarkan sambutan yang diterima setiap kali berkempen.

“Ceramah yang saya adakan sebelum ini dihadiri ratusan orang, tetapi saya lebih suka berkempen dalam kumpulan yang kecil.

“Kumpulan kecil ini mempunyai kesan berganda malah lebih mudah didekati untuk mendengar keluhan mereka,” katanya.

21 dibaca
Berita Harian X