Sabtu, 6 Oktober 2018 | 1:36pm

Tun M boleh pujuk pengundi

PORT DICKSON: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu kempen Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berupaya menarik orang ramai keluar mengundi.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata kesudian Pengerusi PH itu turun berkempen di Port Dickson menggambarkan komitmen membantu Anwar untuk mengembalikan Ketua Umum PKR itu ke arena politik.

“Mengikut rekod, Tun M (Dr Mahathir) jarang turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), termasuk ketika beliau bersama Barisan Nasional (BN).

“Apabila Dr Mahathir membuat keputusan hadir ke Port Dickson, sudah tentu jentera PKR sangat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran beliau.

“Dr Mahathir akan menyuntik semangat jentera dan pengundi terutama yang berada di luar untuk pulang mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini, yang turut dihadiri Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Saifuddin berkata, pihaknya menjangkakan 10,000 pengunjung membanjiri program ceramah berkenaan.

Katanya, antara yang bakal hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Saifuddin berkata, program akan diadakan berhampiran PD Gateway, Batu 6 di sini, pada jam 8 malam, Isnin ini.

“Kehadiran Dr Mahathir bakal memadam spekulasi mengaitkan beliau dengan Datuk Seri Anwar.

“Ia signifikan dalam melonjakkan jentera kempen dan menyuntik semangat pengundi.

“Semalam pun Tun M buat merayu pengundi luar Port Dickson pulang mengundi, malah saya terima berpuluh mesej beritahu mereka akan beramai-ramai pulang mengundi.

“Justeru, jangan ambil mudah mesej pujukan Dr Mahathir itu,” katanya.

SAIFUDDIN Nasution Ismail bersama Aminuddin Harun pada sidang media berkenaan program ceramah perdana bersama Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kempen Pilihan Raya Kecil di Bilik Gerakan Utama PH di Port Dickson. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Berita Harian X