Sabtu, 6 Oktober 2018 | 11:18am
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Persaingan Azmin, Rafizi makin sengit

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, terus memberi saingan sengit kepada lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila memenangi pemilihan parti itu Kelantan dan Terengganu, semalam.

Rafizi menang di Kelantan dengan memperoleh 5,211 undi manakala Mohamed Azmin pula mendapat 4,922 undi menerusi pengundian di 14 cabang PKR di negeri itu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menang di sembilan cabang termasuk di Bachok, Pengkalan Chepa dan Pasir Mas.

Di Terengganu, Rafizi menewaskan Mohamed Azmin dengan masing-masing meraih 1,506 dan 1,269 undi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin memenangi pemilihan di dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor.

Di Pulau Pinang, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat 3,326 undi berbanding Rafizi yang memperoleh 3,150 undi dengan majoriti hanya 176 undi.

Mohamed Azmin menang di cabang Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Mertajam manakala Rafizi menang di Permatang Pauh, Bagan, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor dan Balik Pulau.

Di Johor pula, Mohamed Azmin menang dengan memperoleh 4,234 undi untuk mengatasi Rafizi dengan 3,759 undi.

Selepas tiga minggu pengundian, keseluruhan pemilihan di empat negeri menyaksikan setakat ini Mohamed Azmin mendapat 14,020 undi, mendahului Rafizi sebanyak 177 undi atau hanya perbezaan 0.6 peratus sahaja.

Hari ini, ahli PKR di Pahang akan menjalankan tanggungjawab mereka di lapan cabang iaitu di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan, Paya Lebar dan Pekan.

Esok, pemilihan PKR akan diadakan di Wilayah Persekutuan dan Labuan membabitkan pemilihan di tujuh cabang iaitu Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa dan Bukit Bintang.

Berita Harian X