Jumaat, 5 Oktober 2018 | 8:23pm
MASZLEE Malik (duduk tengah) berbual bersama ahli-ahli persatuan nelayan kawasan Port Dickson semasa mengadakan pertemuan bersama mereka di Pengkalan Nelayan Bangan Pinang. - Foto BERNAMA

BERSATU buka bilik operasi PRK Port Dickson

PORT DICKSON: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuka bilik operasi parti di Bagan Pinang, di sini sebagai persiapan kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan pada Isnin ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, bilik operasi itu juga akan digunakan bagi membantu jentera kempen calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tempoh berkempen hingga hari pengundian 13 Okt ini.

“Sebagai parti komponen dalam PH, BERSATU akan turun bantu kempen calon PH...seperti PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong sebelum ini.

“...hatta sebelum arahan mobilisasi (turun bantu kempen) oleh Tun Mahathir, bagi anggota BERSATU Negeri Sembilan, mereka sudah aktif membantu kempen Anwar,” katanya kepada kepada pemberita selepas melawat bilik operasi di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan hari ini dilaporkan berkata, akan muncul di Port Dickson untuk membantu kempen PH.

Pengerusi Pakatan Harapan itu dijadual hadir bersama ketua-ketua parti komponen yang lain ke satu majlis kempen besar-besaran bagi PRK itu pada Isnin ini.

Pada 27 September lepas, BERSATU Negeri Sembilan dibubarkan serta-merta kerana anggotanya menimbulkan masalah dan melanggar perlembagaan parti.

Parlimen Port Dickson menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRK ini, Anwar berdepan saingan tujuh penjuru membabitkan calon PAS, Lt.Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar selain lima lagi calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – BERNAMA

20 dibaca
Berita Harian X