Jumaat, 5 Oktober 2018 | 9:26am
MOHD Isa meluangkan masa menziarah keluarga anggota bomba Adnan Othman, 33, yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Puchong. - NSTP/Hazreen Mohamad
MOHD Isa cuba membuat hidangan rojak di sebuah restoran selepas tinjauan mesra ketika berkempen sempena PRK Port Dickson di sekitar pekan Port Dickson. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

'Saya bertanding lawan musuh UMNO'

TAN Sri Mohd Isa Samad Abdul Samad tidak perlukan gimik memperkenalkan diri kepada pengundi, kehadiran beliau dalam arena politik sejak empat dekad lalu. Agak terkilan kerana hadirnya kali ini atas tiket Bebas, beliau yakin bakti selama ini boleh menjadi bekalan ke Dewan Rakyat.

Ikuti perkongsiannya bersama wartawan Veena Rusli, Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah.

Soalan: Apa yang mengubah kesetiaan Tan Sri terhadap UMNO?

Jawapan: Saya keluar UMNO kerana tidak setuju dengan keputusan pucuk pimpinan memboikot PRK ini. Selepas Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson, saya ingatkan Barisan Nasional (BN) atau UMNO nak bertanding sebab ia peluang baik untuk BN.

Menang atau kalah tidak penting, tetapi boleh menjadi plat-form parti untuk menyampaikan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan hari ini. UMNO Bahagian Teluk Kemang sudah lama mahu bertanding di kerusi berkenaan, namun tidak dapat kerana ia adalah kerusi tradisi MIC. Tapi bila ada peluang, UMNO tak nak bertanding.

Saya tak nak dipecat. Saya tak nak baca muka depan BH tulis ‘UMNO pecat Isa,’ jadi biar saya keluar.

S: Keputusan Tan Sri bertanding dikatakan mengejutkan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Umum PKR?

J: Jika Anwar terkejut dengan keputusan saya, saya lagi terkejut dengan keputusan dia bertanding di Port Dickson. Beliau ada Permatang Pauh yang diwakili anaknya dan Pandan yang diwakili isterinya. Malah, saya dengar ada yang menawarkannya bertanding di Nibong Tebal dan Sungai Petani. Saya hairan kenapa dia pilih Port Dickson.

S: Apakah sukar bagi mengingatkan penyokong dan pengundi yang Tan Sri bertanding menggunakan logo kerusi, bukan lagi BN dengan logo dacing?

J: Memang ada segelintir penyokong tak sedar saya bertanding sebagai calon Bebas, termasuk kalangan ahli keluarga yang sudah berusia. Jadi, saya perlu memberi penjelasan dan jentera juga memberi tumpuan menerangkan kepada orang ramai.

Kelmarin di pasar malam di Linggi, seorang penyokong bertanya mengapa saya tinggalkan UMNO, saya ceritakan situasi sebenar dan faham.

Bukanlah susah sangat untuk menerangkan kepada mereka. Saya katakan, bila duduk atas kerusi kena ingat saya, sebab itu lambang saya.


MOHD Isa tidak perlukan gimik memperkenalkan diri kepada pengundi. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

MOHD Isa ketika memberi ceramah kepada penduduk kampung Pasir Panjang sempena kempen PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP/Aswadi Alias

S: Bacaan Tan Sri terhadap ahli dan penyokong UMNO di Port Dickson?

J: Saya tidak bertanding melawan UMNO. Saya melawan musuh tradisi UMNO iaitu PKR dan PAS. UMNO melawan PKR selama 20 tahun dan PAS selama 60 tahun. Jika UMNO bertanding pada PRK ini dan saya juga bertanding sebagai calon Bebas, itu lain cerita.

Jadi, tiada sebab untuk pemimpin dan ahli UMNO serta BN tidak menyokong saya.

Ahli dan pemimpin UMNO tahu, walaupun saya tidak bertanding mewakili UMNO, saya tidak menentang mereka tetapi menentang musuh UMNO.

S: Apa kebimbangan utama Tan Sri?

J: Saya risau kalau penyokong tidak keluar mengundi. Saya ada ramai ahli keluarga, saudara-mara, rakan dan ahli UMNO di sini. Mungkin ada yang fikir PRK ini tidak akan mengubah apa-apa, kalah menang pun kerajaan sama.

Saya minta jentera pastikan penyokong keluar mengundi. Saya juga berbincang dengan jentera untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina dan India.

Rakan kita daripada MCA dan MIC turut membantu. Mereka membantu saya secara terbuka.

Saya tidak bimbang mengenai sokongan masyarakat tempatan kerana orang tahu rekod saya berkhidmat di sini. Saya orang tempatan yang bergaul dengan akar umbi. Apabila berjumpa orang di pasar, mereka kata saya orang kampung. Mereka tanya ke mana saya pergi sebelum ini, saya cakap saya menjadi Ahli Parlimen Jempol (sebelum ini) dan kini mahu bekerja di Port Dickson. Alhamdulillah, mereka masih menyokong saya.

46 dibaca
Berita Harian X