Rabu, 3 Oktober 2018 | 3:32pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

Jangan ambil mudah PRK PD - Azmin

PORT DICKSON: “Anda mengundi calon Perdana Menteri.”

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melontarkan kata-kata itu bagi mengingatkan pengundi Parlimen Port Dickson mengenai status yang bakal dibawa calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu hari nanti.

Mohamed Azmin yang turun membantu kempen di Kampung Arab di sini malam tadi, berkata masyarakat setempat seharusnya memberi sokongan padu kepada Anwar selaku bakal Perdana Menteri.

“Jika peratusan keluar mengundi hanya 40 sehingga 45 peratus, jumlah itu amat kurang memuaskan.

“Kita perlu bekerja keras. Jangan ambil mudah dan terlalu berpuas hati,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pengundi yang tinggal di Singapura dan Johor Bahru perlu pulang mengundi untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dengan mengundi bakal Perdana Menteri.

“Saya yakin Anwar akan menang di Port Dickson dan kita menjadikannya kemenangan besar dengan majoriti lebih 20,000 undi,” katanya.

Azmin berkata, bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, memperoleh majoriti lebih 17,000 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“PRK ini penting dalam membuka jalan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Anda perlu memberi peluang kepada Anwar untuk membawa pembaharuan di Port Dickson.

“Jika anda mahu pemimpin yang bersih, berkelayakan, boleh dipercayai dan mempunyai integriti, anda perlu memilih Anwar.

“Dengan mengundi Anwar, anda dapat menolak parti yang politiknya sudah berpecah-belah,” katanya.

23 dibaca
Berita Harian X