Rabu, 3 Oktober 2018 | 2:57pm
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Patuhi etika berkempen

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) akan memastikan pemimpin parti itu yang turun berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melakukan sebarang serangan peribadi terhadap mana-mana calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata peringatan itu ditujukan kepada semua pemimpin supaya mematuhi etika ketika berkempen.

“Anwar sebelum ini sudah memberitahu bahawa serangan peribadi tidak akan dijadikan modal dalam kempennya dan sebab itu kita akan pastikan semua yang turun berkempen akan diberikan peringatan mengenai tata etika.

“Malah, Anwar juga sudah memberi jaminan tidak akan menggunakan jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar ketika berucap dalam program ceramah di Kampung Pachitan di sini kelmarin, menyalahkan calon Bebas, Tan Sri Isa Samad berhubung penularan wabak jangkitan Japanese Encephalitis (JE) pada awal 2000 di negeri berkenaan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan itu turut menyerang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berhubung masalah yang menyelubungi FELDA.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan pengundi supaya berwaspada dengan sebarang serangan peribadi atau fitnah yang tersebar di media sosial terhadap Anwar.

“Gunalah hujah dan serangan yang berasas dan mampu mengangkat wacana perubahan kepada penduduk Port Dickson.

“Orang ramai perlu berwaspada dengan serangan hendap seperti ini kerana lebih banyak fitnah yang akan tersebar sepanjang PRK kali ini,” katanya.

Berita Harian X