Isnin, 1 Oktober 2018 | 5:49pm
MOHD Saiful Bukhari

Perancangan Allah itu hebat - Saiful

PORT DICKSON: Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Mohd Saiful Bukhari Azlan, menggunakan khidmat syarikat sendiri untuk menguruskan data dan perjalanan kempennya sehingga hari pengundian 13 Oktober ini.

Menerusi status di Facebook (FB) rasminya, Mohd Saiful Bukhari, 33, berkongsi perkara itu hari ini dan menyifatkan ia sebagai hikmah di sebalik perniagaan diusahakan.

“Mesyuarat merangka gerak kerja kempen PRK Parlimen Port Dickson. Data Driven Strategy. Perancangan Allah itu Maha Hebat.

“Jika sebelum ini, syarikat saya dan isteri berkhidmat untuk client (pelanggan), tapi hari ini untuk kempen saya sendiri.

“Rupanya ada hikmah saya menceburi bidang perniagaan ini. Tak perlu hire (upah) syarikat lain, semua dah ada. Jimat kos. Apapun, nantikan program-program saya. Semoga dipermudah,” katanya dalam catatan itu.

Sekeping gambar yang dimuat naik bersama catatan itu membahagikan aktiviti mengikut lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Port Dickson iaitu Sri Tanjung, Chuah, Bagan Pinang, Lukut dan Linggi.

Turut menjadi perhatiannya adalah post mortem Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain ringkasan pengundi mengikut kumpulan umur, kaum dan pusat daerah mengundi.

Mohd Saiful Bukhari memberi jaminan tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dengan meletak jawatan sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.

Beliau adalah antara enam calon yang bakal menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi kerusi Parlimen Port Dickson yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Berita Harian X