Isnin, 1 Oktober 2018 | 5:49pm
MOHD Isa beramah mesra penduduk di rumah saudaranya Kampung Baru si Rusa Port Dickson. - Foto Adzlan Sidek

Orang UMNO sokong dalam hati - Isa

PORT DICKSON: Tan Sri Mohd Isa Samad mendakwa tiada pemimpin atau ahli UMNO bahagian Port Dickson menjauhinya walaupun bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang pernah menjadi Ketua UMNO bahagian itu berkata, mereka bagaimanapun tidak boleh menonjolkan diri kerana menghormati keputusan kepemimpinan tertinggi parti memboikot PRK itu.

“Majoriti masih menyokong saya tapi dalam hatilah, cuma mereka tidak boleh ke depan (membantu kempen).

“Tapi hari mengundi nanti mereka boleh undi saya sebab mengundi hak masing-masing, tiada siapa boleh halang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi rumah ibu saudaranya, Fatimah Abdul Jalil, 80, dalam siri kempennya di Kampung Bagan Pinang di sini, hari ini.

Isa meninggalkan parti kerana mahu bertanding sebagai calon Bebas di PRK Port Dickson selepas Barisan Nasional (BN) dan UMNO membuat keputusan memboikot pilihan raya itu.

Beliau berkata, ada ahli UMNO di kawasan itu masih keliru dengan arahan parti yang memboikot PRK berkenaan.

“Ini yang saya cuba jelaskan, ahli dan pemimpin tak boleh terbabit dalam kempen, tapi UMNO tak pernah larang ahli mengundi saya.

“Kalau tak undi saya, mereka yang rugi sebab saya menentang musuh UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin MIC turut menyokongnya dan banyak membantu dalam mendekati masyarakat India di Port Dickson.

Berita Harian X