Isnin, 1 Oktober 2018 | 2:51pm
KETUA Pemuda UMNO Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa (tengah). - Foti Ihsan Facebook

Tak halang hubungan keluarga tapi...

PORT DICKSON: UMNO Bahagian Port Dickson tidak menghalang Ketua Pemuda UMNO Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa, berkempen atas kapasitinya sebagai anak calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli, berkata walaupun Mohd Najib adalah Ketua Pemuda UMNO Port Dickson, mereka melihat kedudukannya lebih cenderung membantu bapanya sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

“Dari segi hubungan keluarga itu, tak adalah kita nak halang, namun dari segi (tindakan) parti, itu terpulang pada Lembaga Disiplin UMNO.

“Jentera bahagian telah dimaklumkan tidak boleh mengambil bahagian kerana UMNO memboikot PRK berkenaan atas asas tidak suka dengan sebab ia diadakan.

“Bagaimanapun, ahli tidak dihalang keluar mengundi dan bebas mengundi siapa saja pilihan mereka pada 13 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Ketua UMNO bahagian Teluk Kemang (kini Port Dickson), mengumumkan keluar parti kerana mahu bertanding sebagai calon Bebas di PRK Port Dickson selepas BN dan UMNO memboikot pilihan raya itu.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS dan lima calon bebas termasuk Mohd Isa dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Semalam, Mohd Najib dilaporkan berkata, kempennya itu adalah atas tanggungjawab memberi sokongan kepada bapanya dan terpulang kepada kepemimpinan tertinggi UMNO membuat keputusan mengenainya.

Berita Harian X