Isnin, 1 Oktober 2018 | 2:08pm
Tan Sri Isa Samad. - Foto Adzlan Sidek

Tanpa jentera, yang ada cuma rakan dan saudara - Isa

PORT DICKSON: Sudah terbiasa berkempen untuk Barisan Nasional (BN) lebih 40 tahun, Tan Sri Isa Samad, yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson kali ini, tersasul menyebut dacing sebagai simbol pilihannya, malam tadi.

Berkemeja merah jambu dan berseluar kelabu, bekas Menteri Besar itu, yang berkempen di rumah saudaranya di Kampung Baru Si Rusa di sini, menyedari kesilapannya dan segera memperbetulkan dengan memberitahu simbol sebenar adalah kerusi.

“Itulah, sudah lama (berkempen sebagai calon BN), saya pilih kerusi sebab yang dipertandingkan adalah kerusi,” katanya sambil tersengih ketika berdiri di hadapan kira-kira 30 orang sanak-saudara di ruang tamu rumah banglo berkenaan.

Dacing adalah lambang BN sejak sekian lama.

Kesilapan itu turut menjadi bahan ketawa orang yang hadir pada pertemuan ringkas dan sederhana itu sambil ada yang berseloroh memberitahu beliau supaya berhati-hati bagi mengelak wartawan membuat laporan salah.

Pertemuan dalam suasana mesra sedemikian menjadi kaedah utama bekas Ketua UMNO bahagian Teluk Kemang itu yang dibesarkan di Bagan Pinang di sini, mendekati pengundi kawasan berkenaan yang disifatkannya sudah lama mengenalinya.

Kunjungan ke rumah saudara-mara dan rakan itu digunakan untuk meminta mereka mengundinya selain menjelaskan tindakannya keluar UMNO kerana tidak rela melihat pencabarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang mudah.

Ditanya oleh seorang hadirin apa yang boleh dilakukan untuk membantu terutama di pusat operasi calon di kampung itu, Isa berkata apa saja bantuan diberi akan diterimanya.

“Apa yang boleh dibantu, bantulah. Ramaikan tempat ini atau datang makan. Yang penting doakan saya menang,” katanya dengan ketawa kecil yang menjadi gayanya sejak sekian lama.

“Ok, lepas ni kita pergi rumah Syukur,” katanya spontan merujuk kepada saudara lain, menggambarkan betapa kawasan itu adalah tempatnya membesar.

Berita Harian X