Sabtu, 29 September 2018 | 11:55pm
CALON Bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada sidang media ketika berkempen di Kampung Bagan Pinang. - Foto BERNAMA

Menang dulu baru fikir pasal parti - Isa

PORT DICKSON: “Saya mahu pastikan menang terlebih dahulu sebelum pikir nak sertai parti mana,” kata Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson itu, berkata tumpuannya kini adalah untuk hadapi pilihan raya terlebih dahulu.

“Saya belum fikir lagi soal hala tuju, yang penting menang PRK ini dulu.

“Bila sudah menang baru boleh cakap soal parti” katanya ketika sidang media sebelum ceramah di Kampung Bagan Pinang sebentar tadi.

Mohd Isa berkata, beliau hairan kenapa ‘orang luar’ dilihat beriya-iya untuk bertanding di PRK Port Dickson ini.

“Anwar pun, kenapa dia pilih Port Dickson? Tapi saya masuk bertanding sebab UMNO tak bertanding,” katanya.

Namun katanya, beliau mahu calon berkempen secara bersih dan tidak menyerang peribadi.

“Saya tidak ada isu pun, SPRM pun tak ada kes.

“Tetapi kalau mereka sentuh saya, maka saya juga boleh buat begitu kerana mereka juga ada isu,” katanya.

Ketika ditanya lambang kerusi yang dipilihnya ada penamaan calon hari ini, sambil berseloroh Isa berkata, yang direbut adalah kerusi, jadi beliau pilih lambang Kerusi.

23 dibaca
Berita Harian X