Sabtu, 29 September 2018 | 6:19pm
DATUK Seri Gopal Sri Ram. - Foto NSTP

Semua sabitan, hukuman terhadap Anwar diketepikan - Peguam

KUALA LUMPUR: “Tiada keraguan... jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan penuh, beliau boleh bertanding,” kata peguam dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kelayakan Ketua Umum PKR itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

“Pengampunan penuh mengetepikan semua sabitan dan hukuman. Ia jelas dan tiada keraguan,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas jika ada kaedah lain untuk membantah Anwar daripada bertanding, beliau berkata semua pihak perlu menunggu sehingga selesai PRK.

“Beliau (Anwar) sudah selesai dinamakan sebagai calon. Pada peringkat ini bantahan hanya boleh dilakukan melalui petisyen pilihan raya.

“Laluan untuk Anwar lancar sehinggalah beliau dipilih dan ada individu mempertikaikan kemenangan itu melalui petisyen pilihan raya,” katanya.

Peguam N Surendran sebelum ini pernah mengesahkan bahawa Anwar boleh bertanding dalam PRK Port Dickson.

Beliau yang juga bekas peguam Anwar, berkata, mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan, jika individu itu diberikan pengampunan penuh (free pardon), beliau boleh bertanding.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim sebelum ini menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas, memberi penjelasan sama ada Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan layak bertanding atau tidak dalam PRK bulan depan.

Nazir Hussin mendakwa tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa sabitan ke atas apa-apa hukuman adalah diketepikan oleh kerana pengampunan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada seseorang itu boleh bertanding mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum cukup tempoh lima tahun selepas pengampunan diberikan.

Siti Kasim pula mempersoalkan sama ada pembebasan Anwar adalah daripada pengurangan hukuman penjara lima tahun itu yang dikenakan terhadapnya atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong seperti yang disyorkan oleh Lembaga Parol.

40 dibaca
Berita Harian X