Sabtu, 29 September 2018 | 3:16pm
ANTARA penyokong yang hadir pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini. - Foto Aswadi Alias

Polis puji kerjasama penyokong, politik makin matang

PORT DICKSON: Polis mengucapkan terima kasih kepada penyokong semua calon yang memberikan kerjasama penuh sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor, berkata tiada sebarang kekecohan atau insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, politik pada hari ini dilihat semakin matang apabila penyokong semua calon mengekalkan keharmonian dan demokrasi pada hari penamaan.

"Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong calon dan parti bertanding atas kerjasama diberikan.

“Keadaan di luar pusat penamaan calon terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini kerana semua yang hadir mengikuti arahan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohd Faisal berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berkaitan setakat ini berkaitan proses penamaan calon.

Menurutnya, seramai 448 anggota polis dikerahkan bagi mengawal lalu lintas dan menjaga keselamatan sepanjang proses penamaan calon itu.

Berita Harian X