Sabtu, 29 September 2018 | 1:37pm
ANGGOTA polis menjalankan kerja mengawal hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson di Dewan MPPD, Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

954 anggota polis bertugas

PORT DICKSON: Seramai 954 pegawai dan anggota polis bertugas sepanjang proses penamaan calon, kempen dan pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bermula hari ini sehingga 13 Oktober ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Nor berkata, semua pegawai dan anggota terbabit adalah menggunakan sepenuhnya kekuatan daripada kontinjen Negeri Sembilan.

“Pada penamaan calon hari ini sahaja seramai 448 anggota bertugas. Semua anggota akan bertugas secara berperingkat membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas, Tugas Am, Unit Udara dan trafik.

“Kita menjangkakan akan berlaku kesesakan di Port Dickson dan Lukut terutama pada hari pengundian nanti. Saya meminta orang ramai mematuhi peraturan serta arahan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Faisal berkata, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan wakil calon bagi menerangkan mengenai permit kempen dan peraturan pilihan raya.

“Setakat ini, polis menerima beberapa permohonan untuk mengadakan ceramah dan kempen. Semua wakil calon boleh buat permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang tempoh berkempen bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini atau unsur sabotaj yang boleh mengganggu ketenteraman serta keselamatan orang ramai

Berita Harian X