Sabtu, 29 September 2018 | 1:31pm
Fazida Al Junid menjual baju-T pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Rezeki penjual baju

PORT DICKSON: Hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, membuka pintu rezeki seorang peniaga pakaian apabila hampir 200 baju-T dijual hari ini.

Fazida Al Junid, 44, berkata dia bersyukur pakaian yang dibawanya ke lokasi pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) hampir habis terjual.

Katanya, dia menjual baju-T Pakatan Harapan (PH) dan PKR yang diinspirasikan khas buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya mula berniaga pakaian sejak 2002 bersama arwah suami, Jafri Mohd Ali. Apabila suami meninggal dunia pada 2012, perniagaan ini diteruskan," katanya.

Menurut Fazida, pada mulanya dia merancang menjual baju-T dengan harga RM20 sehelai, namun selepas memikirkan ia hari bersejarah buat Anwar ia dijual hanya RM10.

"PRK ini landasan buat Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan sebab itu saya tidak kisah menawarkan diskaun RM10.

“Hasilnya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai pelbagai kaum," kata yang datang dari Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Menurut Fazida, dia mengikuti semua jelajah dan kempen PKR sejak 2002 dan turut menjual pakaian di seluruh negara.

"Jualan tertinggi pernah dicapai adalah 500 helai baju-T terjual apabila saya mengikuti kempen untuk Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

22 dibaca
Berita Harian X