Sabtu, 29 September 2018 | 1:20pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin kanan Pakatan Harapan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jangan cerca Saiful - Anwar

PORT DICKSON: "Mudah untuk cakap saya maafkan, lupakan dan teruskan hidup, tapi ramai yang terluka sepanjang proses itu."

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas tindakan sebahagian penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mencerca bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, ketika namanya diumum sebagai calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, hari ini.

Ketua Umum PKR itu yang bertanding atas tiket HARAPAN, akan terus mengingatkan penyokongnya supaya mengelak budaya politik negatif termasuk memaki hamun dan mencerca calon lain.

"Saya akan nasihatkan mereka (tidak ulangi cercaan), tapi perlu dilihat juga tindakan berniat jahat yang dilakukan (merujuk kepada Mohd Saiful) sebelum ini.

"Banyak pihak (termasuk penyokong) yang terluka teruk sepanjang proses itu (pendawaan dan pemenjaraan Anwar), katanya.

Ditanya mengenai pertandingan tujuh penjuru bakal dihadapinya, Anwar mengaku menjangkakan ia sebanyak itu sebelum ini, namun bersedia bekerja keras bagi meraih kemenangan.

"Sengit tak sengit, saya kena kerja keras. Lebih ramai lebih meriah," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua penyokongnya termasuk jentera pilihan raya PH.

Beliau akan memberi tumpuan terhadap pembangunan setempat yang merangkumi kebajikan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga tentera dan veteran, selain masalah perumahan, peluang pekerjaan dan pendidikan.

Ditanya sama ada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menyerahkan jawatan itu kepadanya seperti dijanjikan, Anwar mengakui tidak ragu-ragu dengan persetujuan yang dicapai bersama semua pemimpin PH sebelum ini.

"Orang akan terus memperkatakan perkara ini kerana ia lebih sensasi, tapi apa yang penting pada PRK ini adalah memastikan kemenangan PH dan saya dapat berfungsi sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Berita Harian X