Sabtu, 29 September 2018 | 1:15pm
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan @ Harun. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Anwar layak bertanding - SPR

PORT DICKSON: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson biarpun ada menerima bantahan pencalonan beliau.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan @ Harun berkata, mengesahkan pihaknya ada menerima surat bantahan namun memutuskan Anwar layak bertanding dalam PRK kali ini seperti peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Bantahan itu berteraskan kepada isu pengampunan Anwar yang mana mengikut bantahan itu tidak mahu membenarkan beliau menjadi calon.

"Bagaimanapun, kita benarkan Anwar bertanding kerana beliau menerima pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengikut peruntukkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood dan Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Khairy Maamor.

Media semalam melaporkan seorang pengundi berdaftar Port Dickson mengemukakan tindakan undang-undang bagi memohon perisytiharan Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Noraziah Mohd Shariff, 38, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu pada jam 8 malam tadi melalui sistem pendaftaran e-filing.

Anwar yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2014 oleh Mahkamah Rayuan, dibebaskan dari penjara dan mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

66 dibaca
Berita Harian X