Sabtu, 29 September 2018 | 1:11pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Zulfadhli Zulkifli

PAS bantah pencalonan Anwar

PORT DICKSON: PAS mengemukakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya menghantar surat bantahan kepada pegawai SPR bertugas pada proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, bantahan itu berkaitan kelayakan Ketua Umum PKR itu sebagai calon dalam Pilihan Raya mengikut Perlembagaan dan undang-undang Malaysia.

“Secara prinsipnya, Pegawai Pengurus SPR sudah mengumumkan tujuh calon diterima. Saya tidak pasti sama ada bantahan kami diterima atau tidak tetapi kami akan meneruskan bantahan ini.

“Kami menuntut SPR memaklumkan kepada kami sama ada mereka menerima atau menolaknya.

“PAS berasa bantahan ini berasas,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon di perkarangan Dewan MPPD di sini, hari ini.

Anwar dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK Port Dickson.

Sementara itu, calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, berkata pengundi awal iaitu anggota tentera menjadi harapan beliau memperoleh undi tinggi menyaingi enam calon lain.

“Saya adalah suara mereka (tentera) dan veteran selain penduduk Melayu di Port Dickson. Saya akan pastikan suara mereka didengari jika saya dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya.

15 dibaca
Berita Harian X