Sabtu, 29 September 2018 | 1:11pm
LIM Guan Eng. - Foto NSTP

7 penjuru bukti suburnya demokrasi - Guan Eng

PORT DICKSON: Pertandingan tujuh penjuru bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson membuktikan sistem demokrasi subur terpelihara di negara ini,

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berharap PRK kali ini akan menjadi persaingan sihat tanpa fitnah.

“PRK kali ini menunjukkan sistem demokrasi terus hidup di negara ini kerana sesiapa saja berhak bertanding termasuk musuh Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tujuh calon akan bertanding pada PRK Port Dickson.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, pengundi berhak memilih mana-mana parti yang memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Mengulas mengenai kesukaran dihadapi Anwar berikutan ramai calon bertanding, beliau berkata, tiada pilihan raya yang mempunyai laluan mudah untuk menang.

“Kalau sebelum pertandingan lagi calon dah yakin lawan akan menang, maka mereka pasti akan kalah.

“Jadi setiap pertandingan tidak boleh ambil sikap mudah dan perlu berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Berita Harian X