Sabtu, 29 September 2018 | 12:53pm
NAIB Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari. - Foto Syamsi Suhaimi

Pengundi PD patut bagi undi kepada PAS

KOTA BHARU: Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson nanti perlu memberi undi mereka kepada calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar kerana beliau mempunyai banyak pengalaman.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau percaya pengalaman yang ada pada Mohd Nazari dapat membantu Parlimen itu terutama dalam isu membabitkan kebajikan tentera.

“Pada pandangan saya, pengundi di PRK Port Dickson perlu mengundi calon PAS yang mempunyai banyak pengalaman sebagai seorang bekas tentera.

“Sebagai seorang bekas tentera, beliau lebih memahami apa yang perlu untuk disumbangkan oleh Kerajaan kepada tentera dan bekas tentera terutama isu yang belum diselesaikan melibatkan kebajikan tentera.

“Pengundi PRK Port Dickson perlu menilai bagaimana pilihan raya pada kali ini akan tentukan masa depan negara,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pas bagi Parlimen Rantau Panjang berkata, beliau juga percaya calon PAS adalah calon terbaik dan pengundi PRK Port Dickson tidak akan rugi apa-apa jika memilih Mohd Nazari.

PAS baru-baru ini mengumumkan Mohd Nazari yang juga Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, sebagai calon parti itu dalam PRK Port Dickson.

PRK Parlimen Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN), PAS dan Bebas.

Mohd Nazari bakal menentang calon HARAPAN yang meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

Lima calon yang bertanding atas tiket Bebas adalah Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu untuk membolehkan Anwar untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Berita Harian X