Sabtu, 29 September 2018 | 12:39am
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA

PKR tidak ambil mudah PRK Port Dickson

JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengambil mudah saingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen di Port Dickson dan akan mendekati pelbagai lapisan pengundi bagi menjamin kemenangan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hari pengundian pada 13 Oktober adalah amat penting dan hanya tinggal kira-kira dua minggu.

Beliau berkata, pihaknya akan menggandakan usaha dan memperkukuh strategi mendekati pengundi di kawasan berkenaan.

“Kami akan mendekati seramai mungkin pengundi.

“Kami mendapati ramai pengundi luar bekerja di Singapura dan Johor dan mereka perlu mendapat pengesahan untuk pulang mengundi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya berpandangan pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan tidak menjejaskan kempen PRK di Port Dickson.

“Apa yang berlaku hanya membabitkan masalah organisasi dan struktur parti sebaliknya di peringkat pimpinan dan anggota parti BERSATU.

“Kami yakin mereka beri sokongan kuat kepada PKR,” katanya di sidang media sempena Program Pidato PKR Johor di sini sebentar tadi.

Dijangka Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi saingan enam atau tujuh penjuru.

Berita Harian X