Jumaat, 28 September 2018 | 9:36pm
SEBAHAGIAN perwakilan yang hadir mendengar ucapan perasmian dari Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Perasmian Persidangan Sayap Wanita , Pemuda dan Puteri UMNO sempena Persidangan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin

Gubal Pelan kembalikan sokongan Melayu kepada UMNO

KUALA LUMPUR: Tiga sayap UMNO, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri perlu menggubal Pelan UMNO 2030 untuk meyakinkan masyarakat Melayu dan Bumiputera supaya kembali bernaung dengan UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelan itu akan memperincikan dengan jelas strategi digunakan untuk meyakinkan orang Melayu.

Katanya, ia mesti boleh menjelaskan dengan terperinci sedekad dari sekarang bagaimana UMNO akan jalani transformasi sebagai pelopor sebenar kepada perubahan.

Beliau berkata, ia menjadi pengawal keutuhan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu.

“Pada masa sama, UMNO juga akan menjadi pembela kemajmukan pelbagai kaum, bahasa dan budaya di negara ini serta menjadi katalis dan penggerak kemajuan ummah,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak persidangan tiga sayap UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Mohamad berkata, membangunkan semula UMNO tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa saja dan bukan sekadar untuk melaungkan slogan keramat ‘Hidup Melayu’.

Sebaliknya katanya, mencakupi strategi untuk memajukan Melayu dalam abad ke-21 yang wajib dipimpin oleh UMNO.

Sehubungan itu, katanya, tiga pemimpin sayap perlu mencari mekanisme bagaimana parti akan membidani kelahiran Melayu Maju dan bukan lagi Hidup Melayu serta menjadikan UMNO sebagai wadah untuk membangunkan seluruh kekuatan bangsa.

“Percayalah, ikhtiar memulihkan UMNO sangat memerlukan penerokaan idea besar dan luar biasa serta ilham segar dan luar biasa.

“Walau apa pun idea segar dan pendekatan luar kelaziman untuk mencerahkan UMNO, saya menyarankan supaya nilai dan prinsip mesti kembali ke landasan lahiriahnya.

“Kembali kepada ideologinya untuk membuah dan menciptakan kebaikan kepada bangsa Melayu,

maknanya kebangkitan semula UMNO mesti berlandaskan nilai, serta berpaksikan moral dan ideologinya.

“Kita mesti menjadi parti dengan ideologi yang jelas dan berpegang teguh kepadanya,” katanya.

15 dibaca
Berita Harian X