Jumaat, 28 September 2018 | 4:31pm
PEKERJA melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan diadakan esok di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

300 wakil media di PRK Port Dickson

PORT DICKSON: Kira-kira 300 pengamal media sudah mula berkampung di bandar ini, bagi membuat liputan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, yang akan berlangsung esok.

Tinjauan NSTP mendapati, bukan hanya agensi media tempatan berada di sini, wakil media antarabangsa juga tidak ketinggalan membuat liputan pilihan raya membabitkan penyertaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara calon yang akan bertanding.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata pihaknya menerima kira-kira 300 permohonan pas SPR bagi wartawan dan jurugambar yang akan membuat liputan sepanjang hari penamaan dan pengundian PRK berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 90 permohonan adalah daripada pengamal media di Negeri Sembilan, manakala bakinya membabitkan media dari luar negeri ini dan media antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Media Pakatan Harapan (PH) PRK Port Dickson, Faiz Abdullah, berkata pihaknya turut menyediakan pusat media di PD Water Front di sini, yang boleh memuatkan kira-kira 50 wakil media.


PEKERJA melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan diadakan esok di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

“Pusat media berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk internet, ruang sidang media, ruang rehat dan surau yang akan beroperasi selama 24 jam sehingga hari pengundian,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson dijangka mendapat liputan meluas media antarabangsa kerana Anwar adalah personaliti politik terkenal di peringkat antarabangsa.

Beliau turut mendapat perhatian media antarabangsa ketika dibebaskan daripada penjara selepas mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain Anwar, empat calon lain dijangka menghantar borang iaitu Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS); Ahmad Kamarudin (PRM); Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas) dan Stevie Chan Keng Leong (Bebas).

Kerusi P132 Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri kelapan.

15 dibaca
Berita Harian X