Jumaat, 28 September 2018 | 3:01pm

Saingan 5 penjuru di PRK Port Dickson?

KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal berdepan saingan sengit dalam pertandingan lima penjuru berikutan beberapa calon menawarkan diri bertanding menjelang hari penamaan calon esok.

Terbaru, bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, dilapor menawarkan diri untuk bertanding mencabar bekas mentornya, Anwar namun belum membuat pengumuman rasmi sehingga kini.

Semalam Mohamad Ezam dilaporkan akan membuat pengumuman rasmi hari ini selepas beliau berbincang dengan rakannya.

Proses penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson akan bermula jam 9 pagi esok di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Ellias Abu Bakar, berkata tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Semalam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, menawarkan diri untuk memberi saingan selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan memboikot pilihan raya itu.

Isa yang juga bekas Naib Presiden UMNO bagaimanapun mengumumkan beliau bertanding atas tiket calon Bebas dan sudah pun keluar UMNO tiga hari lalu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu juga menjelaskan keputusan bertanding dibuat susulan tindakan UMNO dan BN tidak bertanding.

PAS yang pada awalnya memutuskan untuk tidak bertanding pada PRK itu mengubah pendirian selepas rakan kerjasama blok pembangkang, UMNO mengumumkan tidak mahu menyertai PRK itu yang didakwa parti itu sekadar memenuhi cita-cita politik individu.

PAS semalam mengumumkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Rabu lalu menjelaskan parti bertanding kerana peningkatan sokongan terhadap mereka pada dua PRK di Seri Setia dan Sungai Kandis selain rungutan ramai terhadap pentadbiran PH.

Sebelum itu, seorang personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong antara yang terawal mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK itu, diikuti seorang lagi calon Bebas, bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S Kumar yang kemudiannya menarik diri.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) pula mencalonkan Ahmad Kamarudin yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kapar.

Ahmad sebelum ini dilaporkan menawarkan diri bertanding di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tetapi menarik diri di saat akhir pada hari penamaan calon.

Kerusi Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam usahanya menjadi perdana menteri kelapan.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Danyal menang dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN, Datuk VS Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU-14.

Tiga PRK yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, semuanya di Selangor.

Berita Harian X