Rabu, 26 September 2018 | 4:50pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim. NSTP/Asyraf Hamzah

Anwar boleh bertanding

KUALA LUMPUR: “Anwar boleh bertanding,” kata bekas peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, N Surendran, apabila ditanya mengenai kelayakannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

“Sebagai bekas peguam Anwar, saya tidak boleh memberi komen lanjut. Bagaimanapun, saya boleh katakan ini, mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan, jika individu itu diberikan pengampunan penuh (free pardon), beliau boleh bertanding.

“Ini bermakna Anwar boleh bertanding,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Siti Zabedah Kasim sebelum ini menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas, memberi penjelasan sama ada Anwar yang juga Ketua Umum PKR, layak bertanding atau tidak pada Oktober ini.

Nazir Hussin mendakwa tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa sabitan ke atas apa-apa hukuman adalah diketepikan oleh kerana pengampunan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada seseorang itu boleh bertanding mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum cukup tempoh lima tahun selepas pengampunan diberikan.

Siti Kasim pula mempersoalkan sama ada pembebasan Anwar adalah daripada pengurangan hukuman penjara lima tahun itu yang dikenakan terhadapnya atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong seperti yang disyorkan oleh Lembaga Parol.

Berita Harian X