Rabu, 26 September 2018 | 12:28am

Kecoh pemilihan: PKR pecat dua ahli serta-merta

PETALING JAYA: Dua ahli PKR terbabit insiden pergaduhan pada pemilihan parti itu di Kedah dan Pulau Pinang dipecat serta-merta.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi.

Beliau berkata, keputusan dibuat secara konsensus manakala kes pelanggaran disiplin biasa dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

"Bagaimanapun, ada dua kes yang diteliti oleh Biro Politik berdasarkan gambar dan rakaman (video). Pertamanya di Merbok di mana mereka terbabit pergaduhan dan penggunaan senjata, maka kita ambil keputusan pecat ahli itu serta-merta sebagai anggota parti.

"Begitu juga insiden di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang mana kerusi dibaling. Kita sudah kenal pasti dan sekarang namanya disemak untuk sahkan nama yang tepat.

"Dengan ini orang berkenaan yang ada dalam video berkenaan secara automatik terpecat mulai saat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR di sini, malam tadi yang membincangkan kekecohan pada proses pengundian pemilihan kepemimpinan PKR di Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din.

Media melaporkan pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal sistem e-undi (undi secara elektronik) hingga menyebabkan polis campur tangan dan seramai 14 individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan itu pada pemilihan Cabang Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Anwar menegaskan, berikutan tindakan dikenakan, kedua-dua ahli terbabit tidak boleh

terbabit dalam apa-apa kegiatan parti termasuk proses pemilihan.

Selain itu, katanya, jika ada pimpinan parti yang menyokong mereka turut akan dikenakan tindakan disiplin terhadap mereka atau mana-mana calon.

"Kita ambil keputusan tegas dan keras ini kerana nak elak sebarang kelakuan yang biadap, melanggar hukum, bahkan jenayah berlaku.

"Tahniah kepada polis yang segera ambil tindakan dan parti ulangi pendirian tidak akan lindungi mereka yang terbabit.

"Lebih baik mereka ‘dibaling’ (dipecat) keluar dari parti. Oleh kerana jika mereka di dalam, mereka baling kerusi kepada kita," katanya.

Anwar berkata, dalam mesyuarat itu, Biro Politik PKR juga bersetuju dengan saranan JPP dan menerima keputusan mereka untuk menangguhkan proses pemilihan di Kedah, sementara di Pulau Pinang diterima dengan pengauditan terperinci supaya menjamin integriti sistem.

Katanya, pemilihan di Perak dan Perlis juga ditangguhkan dan akan diadakan serentak sebelum Kongres PKR pada November.

"Ada beberapa kelemahan dikenal pasti termasuk proses pemilihan itu (e-undi) sudah diperbaiki dan akan dilaksanakan di Johor pada 30 September," katanya.

Sementara itu, Anwar akan bertemu Menteri Kerja Raya, Baru Bian esok bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan rasuah membabitkan setiausaha politiknya.

Katanya, beliau sudah melihat video berkaitan dan menganggap ia ‘sesuatu yang mengganggu’.

Pagi tadi, Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Che Ab Razak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap Setiausaha Politik Baru yang juga calon majlis kepimpinan pusat PKR.

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat di Ibupejabat PKR. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X