Selasa, 25 September 2018 | 11:00pm
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. - Foto Halim Salleh

Zaid dakwa Anwar layak bertanding

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Manirajan Ramasamy

cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berpendapat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak dan sah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson jika menerima pengampunan penuh tanpa syarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Beliau yang juga pengamal undang-undang berkata jika Anwar sudah mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, tidak sepatutnya wujud suara-suara yang mempertikaikan proses berkenaan.

“Pada saya, pengampunan itu nampaknya macam telah dilakukan seperti dilaporkan dalam media. Jadi saya terima itu sebagai asas.

“Tak tahulah jika peguam, Siti Kasim (Siti Zabedah Kassim) mungkin ada maklumat lain, saya cuma buat ulasan berdasarkan laporan yang dibuat, kalau ada lagi perkara lain, saya tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan Berkaitan Pelarian Rohingya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya Anwar sudah diampunkan, sepatutnya tidak timbul lagi soal lain apatah lagi kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bukan saja (layak) dari segi undang-undang, dari dulu dipersetujui beliau layak ganti Dr Mahathir.

“Saya tidak tahu, jika ada perubahan lain kerana apa yang saya baca dalam akhbar semua pihak (PH) setuju ,” katanya sambil menambah beliau kini di luar politik dan fokus kepada kerja amal di Kelantan.

Baru-baru ini, Siti Kasim meminta Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan kelayakan Anwar untuk bertanding di PRK Port Dickson, 13 Oktober depan.

Perkara sama turut dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin hari ini yang meminta peguam negara menjelaskan perkara itu selewat-lewatnya sebelum penamaan calon pada 29 September ini.

31 dibaca
Berita Harian X