Jumaat, 21 September 2018 | 4:22pm
RAIS Yatim. - Foto Aziah Azmee

Rais Yatim terajui BERSATU Negeri Sembilan

SEREMBAN: Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, mengesahkan dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, berkuat kuasa Selasa lalu.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat oleh Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri, bertujuan untuk merombak dan menstruktur semula badan kepemimpinan parti itu pada peringkat akar umbi.

“Barisan pemimpin BERSATU termasuk pada peringkat bahagian dan ranting sebelum ini dilantik secara interim kerana kita belum membuat pemilihan parti yang dijangka diadakan September tahun depan.

“Jadi, saya akan membuat penilaian semua pemimpin dan mendapatkan reaksi daripada akar umbi. Kita akan membuat penelitian dan mengkaji jika sesebuah bahagian atau ranting mempunyai masalah dan berusaha menyelesaikannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penyebaran gambar surat pelantikannya di laman sosial.

Katanya, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, dilantik sebagai timbalannya.

Kepincangan pada kepemimpinan BERSATU Negeri Sembilan terdedah apabila Penyelaras BERSATU Bahagian Port Dickson, Ramli Awang, mengeluarkan kenyataan melarang dua pemimpin PKR berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, baru-baru ini.

Beliau memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak berkempen di kawasan itu kerana kesal mereka kerap menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu kemudian dibalas oleh Ketua Pendaftar BERSATU negeri, Datuk Mohamad Zin Mustapa, yang tidak bersetuju dengan tindakan Ramli, malah mendakwa jawatannya sudah terlucut kerana memohon menjadi ahli PKR.

Ramli yang mendakwa masih memegang jawatan itu, bagaimanapun mempertahankan tindakannya dan bersedia dikenakan tindakan oleh pihak atasan parti, jika beliau didapati melakukan kesalahan.

Sementara itu, Rais berkata, beliau akan menerapkan budaya politik yang beradab dan berhemah dalam BERSATU Negeri Sembilan, sesuai dengan negeri itu yang terkenal sebagai negeri beradat.

199 dibaca
Berita Harian X