Jumaat, 21 September 2018 | 1:23pm
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto NSTP

PAS percaya Mustapa mungkin sertai BERSATU

KOTA BHARU: PAS percaya Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mungkin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas beliau mengumumkan meninggalkan UMNO Rabu lalu.

Naib Presiden PAS yang juga timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak mustahil perkara itu berlaku kerana berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, beliau kecewa dengan apa yang berlaku dalam UMNO sekarang.

“Besar kemungkinan juga Tok Pa ingin menyertai BERSATU tapi kalau dia (Mustapa) ingin menyertai PAS, kami mengalukan saja kerana tiada masalah bagi kami untuk berbuat demikian.

“Sepertimana yang saya selalu katakan sejak dulu, UMNO ni sudah habis zamannya dan patut dibubarkan saja.

“Umno sekarang seolah-olah melalui proses menuju kehancuran. Saya rasa ramai lagi akan mengikut jejak langkahnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Katanya pintu PAS sentiasa terbuka kepada sesiapa saja dan tidak pernah menutup pintu kepada sesiapapun sejak dulu.

“Adalah dasar PAS sejak dulu lagi bersikap terbuka kepada sesiapa saja yang berminat untuk menyertai kami tetapi sama ada parti ini akan menerima atau tidak, terpulanglah pada pucuk pimpinan,” katanya.

Ditanya sama ada pengunduran Mustapa akan menjejaskan UMNO, Mohd Amar berkata ia akan memberi kesan kepada parti itu kerana Mustapa sekarang menjadi wakil rakyat bebas.

“Memang kesan yang teramat kerana kerusi beliau sekarang terpisah dari kerusi UMNO tapi itu adalah proses biasa dalam parti,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara PAS dengan UMNO, Mohd Amar berkata, kedudukan itu sama seperti sebelum ini dan tiada apapun yang baru mengenainya.

“Kami hanya duduk minum bersama dan berbual saja, kerjasama dengan UMNO ini cuma dalam perkara tertentu saja seperti membantu golongan dalam kesusahan. Apabila selesai tugas, masing-masing akan kembali ke parti masing-masing,” katanya.

149 dibaca
Berita Harian X