Jumaat, 21 September 2018 | 12:42am
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada Majlis Bersama PKR Negeri Sembilan di Dewan Bandaran Tampin, malam tadi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Bincang gerak kerja PRK hari ini

TAMPIN: PKR akan mengadakan perbincangan mengenai gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di ibu negara hari ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perbincangan itu bagi memastikan jentera pilihan raya berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun katanya, perkara penting ketika ini adalah untuk meyakinkan pengundi mengenai peralihan kuasa yang bakal berlaku dengan kembalinya peranan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.

“Saya yakin semua pihak akan terima peralihan kuasa ini namun kita akan terus memberi penjelasan kepada pengundi supaya mereka lebih memahami mengapa perlu diadakan PRK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bersama PKR Negeri Sembilan di Dewan Bandaran Tampin di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, penjelasan itu termasuk mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan PRK Port Dickson sebagai pembaziran sedangkan ia adalah proses peralihan kuasa yang diadakan secara tertib.

Sementara itu katanya, ahli perlu menolak calon yang cuba merosakkan imej parti sendiri dalam pemilihan PKR yang diadakan secara berperingkat mulai Sabtu ini.

Katanya, calon dengan perbuatan sedemikian perlu ditolak kerana bimbang tidak memberi manfaat kepada parti.

“Pastikan pemilihan kali ini dapat mengangkat calon yang pernah bersusah payah demi parti, yang taat setia dan apabila diberikan tugas dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

13 dibaca
Berita Harian X