Rabu, 19 September 2018 | 7:05pm
MENTERI Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto Xahmad Rabiul Zulkifli

PAS sedia letak calon di Port Dickson

KUALA TERENGGANU: PAS sedang menunggu penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum memutuskan sama ada meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen itu.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata PAS sentiasa bersiap sedia termasuk melakukan penilaian dan kajian sebelum mengerahkan jentera pilihan raya bagi membantu calon untuk bertanding.

Katanya, PAS masih menunggu tarikh termasuk hari penamaan calon dan tarikh mengundi.

“Saya dimaklumkan SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh penting urusan PRK termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya itu.

“Keputusan sama ada PAS akan meletakkan calon atau tidak, akan ditetapkan selepas SPR menetapkan tarikh, tetapi kita sudah bersiap sedia berdepan pelbagai kemungkinan termasuk mengerahkan jentera pilihan raya dari 191 kawasan di seluruh negeri berkempen,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri, di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu bersedia untuk bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson bagi menentang Ktua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya parti pembangkang lain termasuk UMNO tidak meletakkan calon.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, mengumumkan perkara itu selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-64, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus Sabtu lalu.

Beliau dilaporkan berkata, kesediaan parti itu untuk meletakkan calon dibuat sebagai mengulas kemungkinan UMNO tidak meletakkan calon untuk mencabar Anwar.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, yang memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi dengan memperoleh majoriti sebanyak 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk VS Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Berita Harian X