Ahad, 16 September 2018 | 8:49pm

Patuhi tata etika sepanjang kempen

KUALA LUMPUR: Ketua Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil mengingatkan semua calon supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sepanjang proses pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi parti kali ini.

Beliau yang bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), berkata kempen yang rancak berlangsung perlu dilakukan secara berdisiplin kerana rakyat sedang memerhati dan menilai setiap langkah yang diambil calon.

“Waktu inilah semua calon kuat berkempen dan sudah semestinya masing-masing akan menggunakan hujah tersendiri untuk menarik undi.

“Hati-hatilah kerana rakyat sedang perhatikan bagaimana proses pemilihan dalaman parti dikendalikan susulan kita berjaya membentuk kerajaan sebagai parti paling besar dalam kerajaan.

“Ini adalah kali ketiga saya bertanding dan tiada perbezaan berbanding pemilihan lalu, namun setiap calon tunjukkanlah ketrampilan yang baik kerana kita sudah menjadi kerajaan,” katanya selepas merasmikan Seminar Motivasi Perdana Peperiksaan UPSR 2018 dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Lembah Pantai, hari ini.

Hari pengundian MPP ditetapkan oleh jawatankuasa pemilihan mengikut negeri berlangsung mulai 14 September hingga 13 Oktober depan.

Pemilihan pertama berlangsung pada 14 September itu membabitkan Kelantan dan Terengganu, diikuti Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang pada 15 September manakala Wilayah Persekutuan pada 17 September.

Pengundian untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta Johor ditetapkan pada 22 September manakala di Selangor pada 29 September dan Perak 30 September. Pengundian di Sarawak ditetapkan pada 6 Oktober manakala Sabah pada 13 Oktober.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, tidak ada keperluan untuk menangguhkan tarikh pengundian pemilihan PKR yang dikhuatiri akan mengganggu proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

“Saya lihat, teruskan saja (pengundian) kerana kita akan tumpu pada PRK apabila diumumkan kelak.

“Bagi saya, kita kena laksana tugas dan tanggungjawab kepada parti mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mencadangkan proses pemilihan parti ditangguhkan sementara sehingga pilihan raya kecil itu selesai.

Menurutnya, langkah itu bertujuan menjamin akauntabiliti selain memastikan semua pihak terbabit di kawasan Parlimen itu.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan itu.

KETUA Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil berucap pada majlis perasmian Seminar Motivasi Perdana Peperiksaan UPSR 2018 dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Lembah Pantai, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X