Ahad, 16 September 2018 | 6:47pm
MOHAMAD Zin (depan, dua dari kanan) bersama ahli PPBM Port Dickson menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Nafi larang Rafizi, Abdullah Sani, berkempen di PD

PORT DICKSON: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, menafikan melarang dua pemimpin PKR datang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, tidak lama lagi.

Ketua Pendaftar BERSATU negeri, Datuk Mohamad Zin Mustapa, berkata kenyataan yang didakwa mewakili BERSATU bahagian Port Dickson itu, tidak menggambarkan pendapat keseluruhan ahli parti berkenaan, termasuk yang tinggal di daerah ini.

“Sidang media diadakan oleh Ramli Awang yang mendakwa diri sebagai Penyelaras BERSATU bahagian Port Dickson, mencemarkan nama baik BERSATU kerana dibuat tanpa kebenaran pemimpin atasan.

“Kami kecewa dengan kenyataan sedemikian yang boleh menjejaskan keharmonian parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Ramli sendiri juga sebenarnya sudah mendaftar sebagai ahli PKR pada Jun lalu. Kita akan minta pihak atasan parti termasuk PH mengambil tindakan terhadapnya,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Port Dickson di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Ramli memberi amaran kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid supaya tidak berkempen di kawasan itu kerana kesal mereka kerap menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar.

Beliau yang berkata demikian pada satu sidang media, mendakwa pihaknya tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.

Sementara itu, Ramli ketika dihubungi menegaskan beliau masih lagi Penyelaras BERSATU bahagian Port Dickson walaupun pernah membuat permohonan menjadi ahli PKR secara online sebelum ini.

Katanya, sidang media diadakan bertujuan menyatakan kekesalan mereka terhadap Rafizi dan Abdullah Sani dan jika tindakannya salah, beliau bersedia dikenakan tindakan oleh pihak atasan parti.

Berita Harian X