Sabtu, 15 September 2018 | 7:19pm
Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin. - Foto Sairien Nafis

PKR Selangor tidak bimbang amaran BERSATU PD

SHAH ALAM: PKR Selangor tidak bimbang dengan amaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Port Dickson terhadap dua pemimpinnya supaya tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau percaya ketegangan itu yang timbul ekoran pengumuman Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertanding di Kerusi Parlimen Port Dickson awal minggu ini, akan reda akhirnya.

Dalam satu sidang media, penyandang kerusi Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, berkata beliau akan mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding sebagai persediaan menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Amaran itu dibuat BERSATU Port Dickson terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ini kerana pergerakan itu tidak berpuas hati dengan tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan yang dikatakan membuat tuduhan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin mahu menjatuhkan Anwar secara tidak bermaruah.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR, dan ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), berkata ahli BERSATU Port Dickson berhak menyatakan kebimbangan mereka.

“Ini adalah reaksi mereka (susulan pengumuman Anwar akan bertanding di Port Dickson). Akar umbi akan mempunyai sentimen dan pendapat mereka sendiri membabitkan perkara yang mereka rasakan sensitif.

“Mereka berhak menyuarakannya tetapi akhirnya, saya percaya kepada semangat PH iaitu kami mahu memastikan kita menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Saya yakin kita boleh bincangkan perkara ini tetapi saya tidak fikir perlu untuk bertemu mereka dan membincangkan perkara ini. Saya fikir, bila tiba masanya, semua akan diselesaikan,” katanya kepada NSTP hari ini.

Semalam, BERSATU Bahagian Port Dickson memberi amaran kepada Rafizi dan Abdullah Sani supaya tidak turun berkempen di kawasan itu.

Penyelaras BERSATU bahagian itu, Ramli Awang, mendakwa pihaknya tidak dapat menjamin sokongan lebih 2,000 ahli parti di kawasan berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika kedua-dua pemimpin PKR terbabit berdegil.

“Kami mengalu-alukan Ketua Umum PKR (Anwar) bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson tidak lama lagi, namun Rafizi dan Abdullah Sani tidak perlu datang berkempen di sini,” katanya.

Berita Harian X