Jumaat, 14 September 2018 | 12:42pm
NAIB Pengerusi DAP negeri, S Veerapan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

DAP Negeri Sembilan sasar golongan muda

SEREMBAN: Walaupun kawasan Parlimen Port Dickson dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH), usaha meraih sokongan pengundi, terutama golongan muda tetap dipergiatkan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), tidak lama lagi.

Naib Pengerusi DAP negeri, S Veerapan, berkata sebagai satu komponen PH, DAP akan memperkuatkan jentera parti bagi membantu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

“Kita lihat aliran keluar mengundi pada PRK yang lalu hanya kira-kira 50 peratus. Jadi, DAP bercadang menggandakan usaha berkempen bagi menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi.

“Kita juga akan memperkuatkan kempen di media sosial untuk menggalakkan penyokong DAP yang tinggal di luar Port Dickson supaya pulang mengundi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pengosongan kerusi terbabit, diumumkan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, kelmarin, bagi membolehkan PH mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Veerapan berkata, DAP juga akan memberi tumpuan khas kepada golongan muda yang menjadi antara pengundi terbesar parti itu.

“Kita percaya pengundi yang menyokong kita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, pasti tidak mahu melepaskan peluang kerana PRK ini menentukan bakal Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Berita Harian X