Khamis, 13 September 2018 | 9:51pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Asyraf Hamzah

Calon PAS tiada potensi di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS untuk tidak bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dimuktamadkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang bermesyuarat di Kuala Terengganu, semalam.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, PAS berpandangan PRK yang sengaja ’dicipta’ bukanlah amalan demokrasi yang baik, menyebabkan pembaziran wang rakyat dan masa selain mengikis minat rakyat untuk keluar mengundi.

“Parlimen Port Dickson juga bukanlah kawasan yang berpotensi untuk PAS meletakkan calon,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, berkata PAS memberi laluan kepada parti pembangkang lain yang berhasrat meletakkan calon sama ada UMNO atau MIC dan akan memberikan sokongan penuh.

“Ini juga selaras semangat solidariti parti pembangkang untuk menambahkan bilangan Ahli Parlimen Pembangkang dalam rangka mewujudkan proses semak dan imbang terhadap parti memerintah,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mengesahkan PAS tidak akan bertanding PRK Parlimen Port Dickson bagi menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengah hari semalam, PKR mengumumkan kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan menyempurnakan proses untuk dilantik semula menganggotai ahli Dewan Rakyat.

Kerusi Parlimen Port Dickson sebelum ini disandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Danyal Balagopal memperoleh 36,225 undi dengan menewaskan calon BN, V Mogan (18,515) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594).

Berita Harian X