Rabu, 12 September 2018 | 9:09pm
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Marang, Mohd Ajwad Mohamad Yusof, menyokong penuh pencalonan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Baharom Bakar

AMK Terengganu kagum keputusan Danyal Balagopal

KUALA TERENGGANU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu kagum dengan keputusan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, yang sanggup melepaskan jawatan secara sukarela untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Parlimen Port Dickson.

Ketua AMK Marang, Mohd Ajwad Mohamad Yusof, berkata pengorbanan Danyal Balagopal melepaskan jawatan biarpun kurang tiga bulan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah laluan mudah kepada Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Katanya, AMK Terengganu akan berkerja kuat untuk memastikan kerusi Parlimen Port Dickson kekal menjadi milik PKR selain memastikan kemenangan Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Berdasarkan mood rakyat selepas keputusan PRK iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Balakong dan Sungai Kandis, PKR mungkin tidak berdepan masalah untuk memenangi kerusi Parlimen Port Dickson,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Ajwad yang juga Pengarah Komunikasi PKR negeri berkata demikian ketika mengulas pengumuman Danyal Balagopal bersedia mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding pada PRK di kawasan itu, pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR, tengah hari tadi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ajwad berkata, lapan calon AMK cabang di negeri ini menyokong penuh pencalonan Anwar untuk menerajui parti itu pada pemilihan November depan.

Katanya, sokongan itu dibuat kerana berpendapat sudah tiba masa untuk Anwar mengemudi PKR, selaku parti tonggak dalam Pakatan Harapan (PH).

Mengenai pencalonan jawatan timbalan Presiden PKR di antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli, Mohd Ajwad berkata, AMK negeri memutuskan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada semua perwakilan.

Berita Harian X