Rabu, 12 September 2018 | 4:11pm
ANTARA kain rentang yang dipasang di sekitar Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Pengundi tunggu Anwar

PORT DICKSON: Pengundi kawasan Parlimen Port Dickson teruja menantikan kedatangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

Setiausaha PKR Cabang Port Dickson, Mohd Amin Harun, berkata pihaknya sudah bersedia dengan jentera bagi menghadapi PRK di P132 Port Dickson selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

“Jentera kita sudah sedia, cuma menunggu semboyan sahaja. Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan akan menggembleng tenaga untuk menjayakan PRK ini nanti. Bilik gerakan juga sudah siap sedia menanti detik bersejarah ini.

“Kami berbesar hati kerana Anwar memilih Port Dickson dan yakin pengundi memberi laluan mudah untuk beliau yang juga bakal Perdana Menteri Kelapan,” katanya yang juga Ketua Ranting Pachitan, Chuah.

Seorang penduduk, Daud Daie, 56, berkata, terdapat banyak kain rentang dipasang di sekitar Port Dickson menunjukkan sokongan untuk Anwar yang memilih bertanding di sini.

“Kami menunggu khabar gembira itu diumumkan dan kita teruja beliau bertanding di sini. Kami yakin siapa pun lawannya nanti, tiada masalah untuk beliau menang.

“Port Dickson adalah kubu kuat PKR sejak tiga penggal lalu dan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dimenangi Datuk Danyal Balagopal Abdullah menang dengan majoriti yang besar lebih 17,000 undi,” katanya.

Sementara itu, Jefri Mohamad, 45, berkata rakyat di Port Dickson bersedia menyambut pemimpin utama PKR yang juga bakal Perdana Menteri.

“Kami akan memilih untuk bakal Perdana Menteri. Oleh itu tidak ada istilah orang luar kerana Ahli Parlimen sebelum ini pun orang luar juga dan beliau menang besar dalam PRU lalu.

“Saya difahamkan lebih 20 kain rentang dipasang di sekitar sini menunjukkan sokongan kepada Anwar,” katanya.

Untuk rekod, Danyal Balagopal memenangi kerusi Port Dickson dengan memperoleh 36,225 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mogan Velayatham yang menerima 18,515 undi, manakala calon PAS, Mahfuz Roslan mendapat 6,594 undi pada PRU-14.

Berita Harian X