Khamis, 6 September 2018 | 4:13pm
KETUA Pembangkang Selangor, Rizam Ismail. - Foto Roslin Mat Tahir

PAC Selangor akan berfungsi secara matang - Rizam

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menolak dakwaan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor hanya bermotifkan politik untuk menggambarkan ketelusan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, tidak timbul persoalan mengenai kesediaannya menggalas tanggungjawab itu kerana jawatan Pengerusi PAC negeri sememangnya diperuntukkan kepada Ketua Pembangkang.

“Mungkin ada pihak mengatakan suara pembangkang tidak akan didengari dan tidak mendapat perhatian kerana PAC dianggotai enam ADUN kerajaan Selangor.

“Namun saya yakin PAC akan berfungsi secara adil. Saya akan pastikan PAC adalah bebas serta tidak diganggu oleh agenda politik kepartian.

“Berdasarkan landskap politik di Selangor yang semakin matang, PAC juga perlu menjalankan fungsinya secara matang. Hari ini kita perlukan politik matang untuk memperjuangkan nasib rakyat,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Rizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor berkata, sebagai Ketua Pembangkang, beliau turut bertanggungjawab untuk bersama-sama pentadbiran kerajaan negeri berkhidmat kepada rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah untuk memantau perbelanjaan kerajaan negeri demi kebaikan rakyat Selangor.

“Saya akan berbincang dengan semua anggota PAC berhubung penggunaan wang kerajaan negeri. Pendirian saya tegas, sebagai Pengerusi PAC, saya akan memikul tanggungjawab yang amat berat ini untuk rakyat Selangor,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan pelantikan Rizam sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Turut dilantik menganggotai PAC ialah tiga ADUN PKR, DAP (dua) dan seorang ADUN Amanah.

Tiga ADUN PKR itu ialah Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Mohd Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Mohd Shaid Rosli (Jeram). ADUN DAP pula ialah Ronnie Liu (Sungai Pelek) dan Lin Yi Wei (Kampung Tunku) serta ADUN Amanah, Saari Sungib (Hulu Kelang).

Pada penggal lalu, bekas ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Selangor selepas menolak jawatan Pengerusi PAC kerana membantah komposisi PAC yang dianggotai ADUN kerajaan negeri.

Pada 4 Disember 2014, DUN Selangor meminda peraturan tetap yang mewajibkan Ketua Pembangkang dilantik sebagai Pengerusi PAC.

Berita Harian X