Selasa, 4 September 2018 | 4:22pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pemilihan PKR: Azmin minta perwakilan nilai rekod

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada perwakilan sama ada mahu terus menyokong dirinya sebagai Timbalan Presiden PKR atau sebaliknya pada pemilihan akhir bulan ini.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata perwakilan boleh menilai serta melihat rekod prestasi sepanjang 20 tahun memimpin perjuangan PKR.

“Saya percaya perwakilan parti akan memilih pemimpin yang mampu mempertahankan dan mengukuhkan perpaduan parti.

“Saya serahkan kad laporan saya kepada mereka untuk dinilai jika mereka memutuskan untuk saya kekal memimpin parti,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Pemilihan bagi jawatan nombor dua parti itu dijangka sengit apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli turut mengemukakan pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan.

Ketika ini, penyokong Mohamed Azmin dan Rafizi, masing-masing dilihat semakin lantang bersuara termasuk membuat serangan peribadi selain mengheret nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terbaru, Rafizi menegaskan keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden parti bukan bersifat menjaga kepentingan peribadi sebaliknya bagi memastikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri.

Berita Harian X