Selasa, 4 September 2018 | 1:26pm
RIZAM Ismail yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

ADUN Air Tawar diumum Ketua Pembangkang

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor, hari ini.

Pengumuman itu dibuat Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim sebelum Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Pertama DUN Selangor ke-14 dimulakan hari ini.

Suee Lim berkata, pihaknya menerima surat pencalonan jawatan itu daripada Barisan Nasional (BN) Selangor pada 27 Jun lalu.

"Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah membuat penelitian dan setuju untuk memahsyurkan Rizam sebagai Ketua Pembangkang Selangor.

"Saya berharap semua ADUN dapat menerima pelantikan yang ditetapkan dan berharap ketua pembangkang baharu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan tidak meletak jawatan," katanya.

Sebelum ini, DUN Selangor tidak mempunyai ketua pembangkang berikutan BN membuat sebarang lantikan selepas ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias meletak jawatan pada 8 Disember 2014.

35 dibaca
Berita Harian X