Rabu, 22 Ogos 2018 | 12:32pm
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al Falah Taman Cempaka, Ampang hari ini. - Foto BERNAMA

Elak bicara komplot sekat Anwar jadi PM

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu rakyat menumpukan soal membina kesejahteraan negara, bukan omongan komplot menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya dan Pakatan Harapan (PH) sudah bebas serta membentuk kerajaan.

Oleh itu katanya, PKR sedang bekerjasama dengan Menteri Kabinet lain dalam PH melakar ke arah usaha membentuk kerajaan yang lebih baik untuk masa depan.

“Apa? Tidak (tiada plot),” katanya mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bahawa tiada berlaku komplot dalam PKR untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri ke-8.

“Kita sudah bebas sekarang, kita berdikari. Apa yang anda persoalkan lagi mengenai cubaan komplot? Jangan buat tuduhan ini semua,” katanya merujuk kejayaan gabungan PH mengakhiri enam dekad pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak 1957 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau bercakap kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidil Adha bersama hampir 500 penduduk di Surau Al Falah, Taman Cempaka, Ampang, di sini, sebentar tadi.

Dr Wan Azizah, yang juga Ahli Parlimen Pandan, menyangkal dakwaan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, merangka ‘muslihat’ dengan beberapa pemimpin PKR berhubung isu menjatuhkan Anwar.

“Lihat, kita sudah bentuk kerajaan bersama (Dr Mahathir), kita perlu menjayakan pembentukan kerajaan ini sebagaimana kita menukar kerajaan selepas 61 tahun.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk tampil menjayakan Malaysia baharu, terutama menjelang Hari Merdeka dan Hari Raya Aidil Adha,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ijok, Dr Idris Ahmad mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, menaja beberapa pemimpin PKR untuk memporak perandakan dalaman parti.

“Saya tahu sikap jahat Dr Mahathir (dan beliau mendapat) pertolongan Daim. Jangan percaya mereka. Lihatlah bagaimana Dr Mahathir dan Daim menggunakan pemimpin PKR sebagai ‘boneka’ untuk menjatuhkan parti,” katanya dalam satu majlis di Ayer Keroh, Melaka.

Ahli Parlimen Kapar, yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani, mendakwa Anwar akan berdepan laluan sukar menjadi Perdana Menteri jika Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak berjaya mengalahkan Datuk Seri Azmin Ali pada pemilihan parti November depan.

Semalam, Abdullah mengemukakan surat permohonan maaf kepada Dr Mahathir membabitkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri selepas perbincangan dengan Anwar melalui panggilan telefon selama 41 minit.

Ketika ditanya adakah peraturan pemilihan PKR ditujukan kepada kem dan individu tertentu seperti Rafizi, Dr Wan Azizah berkata ia termaktub kepada semua calon pemilihan.

“Tidak. Ia untuk semua calon,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, PKR memperkenalkan beberapa peraturan baru yang ketat untuk calon-calon pemilihan parti itu, termasuk menghalang mereka daripada mengadakan ceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 orang.

Calon yang melanggar peraturan baru ini berdepan risiko tindakan tatatertib atau disingkirkan daripada bertanding dalam pemilihan parti sama sekali.

Peraturan baru itu terkandung dalam pekeliling yang bertajuk “Etika kempen pemilihan parti” yang dikeluarkan pada Ahad lalu dan ditandatangani oleh pengerusi jawatankuasa pusat pemilihan PKR, Datuk Rashid Din.

Berita Harian X