Rabu, 15 Ogos 2018 | 1:50pm
KAMARUDIN Jaffar

Calon patut tonjol visi, misi, bukan serangan peribadi

PUTRAJAYA: Calon yang berkempen untuk pemilihan kepimpinan PKR sepatutnya menonjolkan ciri kebaikan seperti visi dan misi untuk memperkukuhkan parti, bukannya membuat sebarang serangan berbentuk peribadi kepada calon lain.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Kamarudin Jaffar berkata, beliau berharap kempen yang sedang berjalan ini tidak menjadi satu aktiviti menyebarkan unsur negatif yang boleh memecah-belahkan parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, tindakan terbabit bukan hanya akan memecah-belahkan parti PKR, namun secara tidak langsung memberi kesan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Saya berharap segala kempen ini tidak menyentuh mana-mana pihak atau pemimpin di luar daripada PKR. Tumpuan utama kita adalah untuk memperkukuhkan PH dan peranan PKR di dalam kerajaan.

"Seharusnya tidak ada serangan negatif terhadap mana-mana tokoh lain dalam PKR. Kempen seharusnya menonjolkan ciri-ciri kebaikan calon yang bertanding.

"Saya kesal dengan suasana serangan berbentuk peribadi yang berlaku kini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Aksesibiliti dalam Perkhidmatan Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut meluahkan rasa kesal terhadap serangan berbentuk peribadi yang diadakan semasa kempen pemilihan kepimpinan PKR.

Dalam pemilihan terbabit, kira-kira 800,000 ahli PKR akan mengundi dalam pemilihan PKR selama tiga minggu mulai pertengahan September ini.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilihat sering mengeluarkan kenyataan berbentuk serangan peribadi terhadap lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang.

Berita Harian X