Selasa, 14 Ogos 2018 | 4:35pm
FARIZ Musa (tengah) memperkenalkan tiga cslon MPP ketika majlis perjumpaan dengan ahli PKR Besut hari ini. - Foto Mohammad Ishak

'Anwar mesti jadi PM'

JERTIH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggerakkan Pergerakan Reformasi dengan lebih agresif, bagi memastikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai perdana menteri kelapan dalam peralihan kuasa Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha Pengelola dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa, berkata desas desus kononnya Anwar tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, amat mengguris perasaan ahli PKR.

Beliau berharap desas-desus itu tidak benar kerana perlantikan Anwar sebagai perdana menteri sudah dipersetujui oleh semua parti dalam PH sebagaimana terkandung dalam perjanjian sebelum PRU-14.

“Semua ahli hendaklah fokus kepada perjalanan parti bagi memilih pemimpin yang benar-benar ingin meneruskan perjuangan reformasi,” katanya pada majlis pengenalan calon MPP bersama ahli PKR Bahagian Besut di sini, hari ini.

Fariz yang juga Ahli Biro Politik PKR Pusat berkata, pada pemilihan parti itu, 90 calon menawarkan diri bertanding merebut jawatan MPP bermula 14 September hingga 13 Oktober depan.

Beliau berkata, bagi jawatan Timbalan Presiden, ia terserah kepada pilihan ahli PKR negeri ini untuk memilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Rafizi Ramli.

Katanya, keahlian parti itu sejak selepas PRU-14 semakin meningkat sehingga satu juta orang berbanding hanya 500,000 sebelum PRU-14 lalu.

Berita Harian X