Jumaat, 10 Ogos 2018 | 6:11pm
MUHAMMAD Khalil (tengah) menyampaikan anugerah kepada ahli PAS pada majlis Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Johor, di Kompleks PAS Sungai Tongkang, Rengit, dekat Batu Pahat, hari ini. - Foto Essa Abu Yamin

PAS kekal bersendirian buat masa ini - Khalil Hadi

BATU PAHAT: PAS masih mengekalkan pendiriannya untuk bergerak sendiri dalam menghadapi politik tanah air yang dipertegaskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata keputusan berkenaan kekal sehingga Majlis Syura Ulama membuat ketetapan baharu pada masa akan datang.

Katanya, buat masa ini PAS kekal bersama Gagasan Sejahtera membabitkan penyertaan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, BERJASA, Parti Cinta Malaysia dan Parti Harapan Malaysia selepas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

“PAS kini hanya bertaawun siyasi (berkerjasama dalam perkara baik) dengan UMNO termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor.

“Kita tiada cadangan untuk mengadakan tahalul siyasi (perjanjian persefahaman politik) dengan UMNO buat masa ini, namun akur jika perkara itu diputuskan Majlis Syura Ulama pada masa hadapan.

“Kita akan lihat dari semasa ke semasa bukan sahaja bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO tetapi dengan Pakatan Harapan (PH) juga jika membabitkan perkara baik dan berkebajikan yang perlu disokong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Johor, di Kompleks PAS Sungai Tongkang, Rengit, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan Ketua Pemuda PAS Johor, Juwahir Amin.

Muhammad Khalil mengulas saranan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad semalam yang mahu UMNO dan PAS bekerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam mana-mana pilihan raya jika mahu mendapatkan kembali sokongan pengundi.

Sementara itu, Muhammad Khalil menggesa Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berada dalam kerajaan supaya lebih bertegas dalam isu membabitkan akidah dan Islam terutama membabitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“AMANAH kini seperti pak turut DAP yang mudah dipulas kepala. Nak komen LGBT pun takut, padahal ia benda yang jelas mungkar.

“AMANAH yang berada dalam kerajaan perlu lebih bertegas dalam isu serius seperti ini,” katanya.

37 dibaca
Berita Harian X